Saturday, July 4, 2009

Michael Jackson mati bukan kerana dibunuh


Hasil bedah siasat kedua penyanyi sahkan keputusan awal

LOS ANGELES: Keluarga penghibur terkenal Amerika Syarikat, Michael Jackson dilaporkan terkejut dengan keputusan bedah siasat persendirian yang dituntut mereka selepas pejabat penyiasat Los Angeles melaporkan tiada perbuatan khianat.

Dalam perkembangan berkaitan, keluarga Jackson dilaporkan berhasrat mengebumikan penyanyi itu di kediaman 'Neverland'.

Keputusan bedah siasat kedua itu mengesahkan laporan bedah siasat pertama, Isnin lalu, lapor tabloid Britain, The Sun, semalam.

Berita berkenaan dimaklumkan kepada ibu Jackson, Katherine di rumahnya oleh penyiasat yang menjalankan pemeriksaan persendirian itu.

Peguam keluarga, Brian Oxman, berkata penemuan itu adalah sama dan badan bintang berkenaan dipenuhi sejumlah parut dan kecederaan.

"Bedah siasat kedua dilakukan dan penyiasat berjumpa Katherine, semalam. Sebarang laporan bedah siasat akan mencatat adanya beberapa tanda kecederaan unik pada badan Michael Jackson.

"Pertama adalah kesan empat suntikan jarum pada dadanya. Saya melihat tanda berkenaan pada dadanya, saya melihat mayatnya jadi saya tahu ia di situ.

"Beratnya, kita tahu beliau amat kurus. Mengenai bahagian tertentu kepalanya yang botak, Michael mempunyai tampalan pada bahagian tepi kepala. Saya tahu abang beliau yang hanya enam tahun lebih tua juga mempunyai keadaan itu akibat kehilangan rambut dan perlu mewarnakannya.

"Mengenai pil yang ditemui dalam perut beliau, kita tahu beliau mengambil terlalu banyak ubat mengikut arahan doktor. Ia tidak dapat dinafikan."

The Sun juga mendedahkan, penyanyi itu hanya tinggal rangka ketika mati kerana tidak makan dan perutnya dipenuhi pil.

Bahagian pinggul, paha dan bahunya dipenuhi dengan suntikan jarum dipercayai kesan suntikan ubat tahan sakit. Ia juga menunjukkan beliau kehilangan rambut dan kulit kepalanya jelas kelihatan.

FROM - Berita Harian

No comments: