Saturday, July 4, 2009
KONSERT SATU - Siti Nurhaliza... Penyanyi Pujaan Hatiku...
Daripada - Akhbar Kosmo
HUJUNG minggu lepas, penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza dengan penuh pesona muncul membuat persembahan di pentas Istana Budaya menerusi Konsert Eksklusif Satu.
Pada malam konsert Siti tersebut, menerusi pengamatan Kosmo! ramai selebriti seperti Ning Baizura, Ifa Raziah, Fazli Zainal, Rossa, Ning Baizura serta bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohammad turut hadir menyaksikan konsert tersebut.
Keseluruhan artis yang datang kelihatan larut dalam pesona Siti di Istana Budaya dan tidak habis-habis memuji.
Ning Baizura yang turut ditemani suaminya, Omar Sharif Christopher pada malam terakhir konsert Siti merasakan konsert tersebut telah berjaya menampilkan keunggulan Siti sebagai seorang penyanyi profesional.
"Dari segi muzik dan persembahannya, kita boleh nampak yang dia keluarkan segala yang ada pada dirinya habis-habisan dan konsert itu begitu menyerlahkan keunggulan Siti.
"Bagi saya, dia adalah yang terbaik dalam arenanya. Sebab muzik dan irama insan yang bernama Siti Nurhaliza dapat penyatuan dalam satu malam.
"Apa yang saya lihat, tiada kecacatan yang dilakukannya. Pandangan saya sebagai seorang penghibur juga, boleh dikatakan kumpulan di sebalik tabir juga melakukan kerja yang keras dan pujian juga harus diberikan kepada mereka.
Namun, realistik dengan segala kelemahan yang tidak mampu lari daripada diri setiap yang bernama manusia, Ning turut mengakui konsert Siti tersebut tidak dapat lari dari aspek kekurangan.
"Memanglah, kalau nak dibandingkan dengan artis luar negara, memang ada beberapa kekurangan, tetapi semua itu bergantung kepada bajet. Saya rasa, dengan bajet yang ada untuk konsert ini, Siti telah melakukan yang terbaik," ujarnya.
Sementara itu, penyanyi seberang yang turun ke Malaysia untuk konsert mininya Sabtu lalu, Rossa juga tidak ketinggalan meluangkan masanya untuk menyaksikan konsert teman baiknya itu.
Menurut Rossa, konsert Siti pada kali ini tampil lebih unik dan santai. "Saya kagum dengan Siti. Bagi saya, susah untuk penyanyi lain bersaing dengannya. Jurang perbezaan Siti dan artis-artis lain sangat jauh. Bila melihat semangatnya pada konsert ini membuatkan saya juga bersemangat untuk mengadakan konsert di sini, di Istana Budaya ini," tuturnya.
Dalam pada ramai dari kalangan selebriti tersebut memuji persembahan konsert Siti itu, pandangan yang diberikan penyanyi, pelakon dan pengacara Ifa Raziah agak berlainan.
Menurut Ifa yang juga seorang penyanyi, konsert Siti kali ini dianggap sebagai biasa-biasa sahaja. Tidak menafikan kehebatan vokal penyanyi jelita itu, menurut Ifa, konsert tersebut seperti kurang menyengat.
"Bukan mahu mengkritik, tetapi sepanjang saya menyaksikan konsert-konsert lain, ada konsert yang lebih bagus daripada konsert (Siti) ini. Bagaimanapun, ia masih dalam kategori sebagai okey, tetapi bukan yang paling bagus.
"Saya pernah menonton konsert yang lebih hebat daripada Siti seperti Mariah Carey, Shah Rukh Khan, Celine Dion serta artis-artis Indonesia. Kalau dibandingkan dengan konsert tempatan pula, konsert Siti ini masih tidak boleh menandingi konsert Anita Sarawak dan Allahyarham Sudirman."
Namun, Ifa melihat Siti sebagai penyanyi nombor satu dari segi vokal. "Kalau dari segi kekuatan vokal, Siti adalah yang terhebat. Cuma Siti pada konsert tersebut kurang berkomunikasi dengan penonton dan penyusunan lagu juga kurang menarik, membuatkan klimaks pada konsertnya kurang.
"Selain itu, banyak lagu popular dinyanyi secara medley. Sepatutnya lagu-lagu yang kurang popular yang dimedleykan dan orang dapat menghayati lebih jika lagu popular dinyanyi secara penuh," ujarnya.
Tukar kostum pada saat akhir
Menonton Konsert Eksklusif Satu yang diadakan tiga hari berturut-turut tampak seperti mudah untuk dilaksanakan. Kosmo! berpeluang menikmati konsert tersebut pada malam kedua ia berlangsung.
Apalagi duduk di kerusi penonton, segalanya nampak teratur dan indah dengan pelbagai persalinan anggun yang tersarung ditubuh penyanyi jelita ini.
Namun, pasti ramai yang tidak tahu sebalik kejayaan konsert tersebut sebenarnya keadaan agak 'huru-hara' di sebalik tabirnya. Bagaimanapun segala hura-hara tersebut berjaya diatasi sehingga tiada cacat cela yang berlaku pada tiga malam konsert itu berlangsung.
Seperti umum mengetahui, persalinan mewah Siti yang digayakan pada malam itu direka khas oleh Rizman Ruzaini, Micheal Ong dan Amir Luqman.
Namun, pada konsert malam pertama, salah satu rekaan mereka terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian dengan konsep konsert penyanyi tersebut.
Label tempatan yang kian mendapat tempat dalam arena fesyen tempatan, Rizman Ruzaini Creation diberi tanggungjawab untuk menghasilkan sepasang lagi persalinan untuk konsert keduanya dan perlu disiapkan dalam masa sehari.
"Pada hari pertama konsert, ada sepasang baju yang kurang sesuai dan Siti memberi kepercayaan kepada kami untuk menyiapkan persalinan baru dalam masa sehari untuk digunakan pada konsert malam kedua dan ketiga.
"Tapi kalau nak ikutkan, tak adalah sampai sehari, sebab selepas konsert itu, kami berbincang sehingga pukul 1 pagi. Memandangkan kedai kain sudahpun ditutup, kami membeli kain pada keesokan harinya pada pukul 10 pagi dan baju itu siap pada pukul 5 petang. Kami perlu menghantar baju itu sebelum pukul 7 petang.
"Memang kelam-kabut sikit dibuatnya. Jangan ingat Siti cerewet pula, sebab semua ini daripada arahan pengarah konsert itu sendiri untuk memastikan konsert berjalan dengan sempurna.
"Bagaimanapun, baju yang kami hasilkan terpaksa dibuat sekali lagi kerana pada malam kedua, warna baju itu (coklat) tidak sesuai dengan kulit Siti. Dan macam biasa, kami akan bekerja keras untuk menyiapkan sepasang lagi persalinan untuk konsert terakhir dengan menggunakan kain berwarna hitam pula, bagi digunakan untuk konsert malam ketiga," jelas salah seorang pereka Rizman Ruzaini Creation, Rizman Nordin.
Biarpun sedikit tertekan ketika menyiapkan persalinan penyanyi itu, namun pihak Rizman Ruzaini Creation begitu gembira kerana diberi kepercayaan oleh Siti serta krew produksi yang lain.
Stamina, kesungguhan Siti
Sementara bagi pengarah muzik konsert, Aubrey Suwito, dia agak hairan melihat stamina Siti yang agak energetik pada ketiga-tiga malam konsert berkenaan berbanding latihan sebelum ini.
Aubrey menganggap Siti begitu komited dengan kerjanya sehinggakan pada satu masa, Siti nampak keletihan dan staminanya menurun.
"Pada awal latihan, stamina Siti tidak kuat kerana maklumlah, sekarang ini dia jarang menyanyi berbanding dulu. Tak sangka pula, staminanya begitu luar biasa pada ketiga-tiga malam konsert, lebih-lebih lagi pada hari yang terakhir.
"Apa yang saya lihat, Siti terlampau bekerja keras untuk menjayakan konsertnya. Sepanjang latihan, memang ada beberapa kekurangan memandangkan hampir kesemua lagu-lagunya disusun semula," kata Aubrey yang turut kagum dengan kreativiti Siti dalam mengarah muzik pada segmen lagu rancaknya.
Dalam pada itu, pengarah konsert, Pat Ibrahim turut memuji kesungguhan Siti sepanjang latihan konsertnya itu.
Bagi Pat, dengan dengan hasil konsert yang ditunjukkan, Siti layak diberi lima bintang kerana terlalu komited dengan kerjanya.
"Siti seorang yang sangat profesional dan langsung tidak menunjuk diri seorang yang berlagak 'diva'. Dia bergaul dengan semua krew produksi termasuklah penari-penarinya.
"Seperti semua orang tahu, dia bekerja keras untuk menjayakan konsert ini. Seminggu lagi nak dekat konsert, baru nampak latihan Siti yang lebih sempurna. Tapi risau juga, bila terlalu berkerja keras, ada satu masa Siti nampak lesu dan keletihan, sampaikan saya tanya dia nak rehat atau tidak. Tapi dia tetap mahu meneruskan latihan.
"Dia memang mempunyai magis yang tersendiri kerana saya yakin penonton dapat merasakan luahan perasaan melalui nyanyian yang dipersembahkan Siti," ujar Pat.
Beritahu Pat lagi, semua krew begitu menyayangi Siti yang begitu merendah diri. Ditambah pula Siti tidak lokek untuk membelanjakan wangnya membeli makanan kepada krew produksi hampir setiap hari.
Diserang ulser
Siapa yang menyangka, sejurus menjelangnya hari konsert, penyakit yang paling digeruni oleh setiap penyanyi iaitu penyakit ulser hadir tanpa diundang.
Siti tidak terkecuali apabila dia sendiri mengalaminya seminggu sebelum tarikh konsertnya itu. Kerisauan Siti bertambah bila penyakitnya itu masih lagi belum sembuh biarpun konsertnya tinggal tiga hari sahaja lagi.
"Sebulan sebelum konsert, saya memang dah tak minum ais dan banyakkan senaman di gim. Tapi tak sangka pula penyakit ulser pula datang.
"Cepat-cepat saya makan ubat dan jaga suara sebaik-baik yang mungkin supaya suara tak pecah. Alhamdullillah, walaupun ulser itu belum hilang sepenuhnya, saya masih lagi boleh menyanyi," ujar Siti.
PADA malam terakhir persembahan, Siti menggayakan busana hitam ini menggantikan busana coklat yang sudah digunakan pada malam kedua konsert.
Membicarakan mengenai konsertnya itu yang mana dia mengalunkan lebih 30 buah lagu, dengan hampir kesemua lagu tersebut dipetik daripada album yang pernah dihasilkan.
Selain memaparkan grafik dan props yang unik, Siti menterjemahkan segala suka dukanya sepanjang bergelar anak seni menerusi lagu-lagu tanpa perbualan yang banyak bersama penonton.
"Saya biarkan penonton merasai apa yang saya rasai, sengaja menggerakkan mood serta emosi mereka dan saya rasa ia berjaya walaupun ada beberapa kesilapan kecil sepanjang konsert ini diadakan.
"Ada satu tahap, persembahan saya lebih tegas kerana mahu menggambarkan kekuatan diri dalam menempuh dugaan yang dilalui," katanya yang turut 'menceritakan' saat bahagianya bersama suami tercinta menerusi lagu Cahaya Cinta, Dialah Dihati dan Biarlah Rahsia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment